Thursday, February 17, 2011

MAULID MERAIKAN KELAHIRAN RASULULLAH


MAULID MERAIKAN KELAHIRAN RASULULLAH
SALLALLAHU 'ALAIHI WA SALLAM
Apakah dia nas atau pun dalil yang terdapat didalam Al-Quran dan As-sunnah mengenai sambutan Maulid (kelahiran) Rasulullah (s.a.w)? Apakah pendapat para Imam dan Ulama keempat-empat Mazhab? Apa pula pendapat ulama zaman sekarang, yang menggelarkan diri mereka "salafi"? Mereka menghalangnya kerana menganggap sambutan Maulid itu bida'ah antara mereka ialah Albani, Bin Baz, al-Jaza'iri, Mashhur Salman, 'Uthaymin. Bagaimana pula mereka yang berpendapat tidak perlu berdiri setelah selesai membaca rangkaian selawat, darud dan puji-pujian semasa penghujung majlis Maulid - walaupun mereka meraikannya? Ada pula yang menolak untuk mengucap "Assalamu'alaika Ya Rasulullah" (s.a.w) dan tanggapan mereka bahawa kita tidak boleh menyeru Rasulullah dengan perkataan "Ya" ataupun "Oh" ?

PRAKATA

Segala puji dan puji hanya buat Allah, Tuhan seluruh alamraya dan selawat serta salam buat Nabi dan RasulNya Muhammad dan kaum keluarganya dan para sahabat. Didalam agama Islam terdapat dua perayaan besar yang disebut sebagai hari Raya ataupu 'Id iaitu, 'Idil-adha dan 'Idil-fitri. Perayaan lain yang terdapat didalam agama Islam, seperti Maulidurrasul bukan merupakan satu kewajiban tetapi ia tidaklah pula dilarang untuk menyambutnya. Pada zaman ini terdapat banyak suara-suara yang mempertikaikan tentang sambutan Maulidurrasul dan ia menjadi fokus perdebatan dan perbalahan, walaupun sebenarnya, banyak lagi isu penting yang perlu ditangani oleh umat Islam. Zaman ini merupakan zaman dimana musuh-musuh Islam sedang melakukan operasi besar-besaran untuk menghancurkan ummat Muhammad, daripada dalam mahupun daripada luar tanpa perasaan belas kasihan dan amat sedikit sekali bilangan orang-orang yang beriman yang dapat mempertahankan ummah ini daripada serangan-serangan ini. Zaman ini merupakan zaman jahiliyyah Ummat Islam, sehinggakan kebenaran amat jarang sekali dan kebatilan merupakan perkara yang biasa dan diterima umum. Firman Allah kepada orang-orang yang beriman,"Berpeganglah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai" (Ali-Imran: 103). Pada zaman ini serangan musuh bukanlah satu-satunya penyebab penderitaan ummat Islam. Dikalangan kita sendiri - ummat Islam - ada musuh dalam Islam, tidak perlulah kita sebut siapa mereka kerana ianya telah pun diketahui umum. Musuh dalam selimut ini, tidak pula suka untuk menyerang musuh-musuh Islam yang sebenar tetapi sebaliknya, mereka menyebarkan pula permusuhan dan perpecahan dikalangan ummat Islam diseluruh dunia. Oleh itu saya rasa ini merupakan tanggungjawab saya untuk melindungi mereka yang beriman daripada serangan mereka ini, yang tidak ada kerja lain, selain mencari kesalahan saudara sendiri. Mereka berkerja bertungkus lumus untuk menaikkan rasa syak wasangka dan was-was kepada perkara-perkara yang sahaja mereka timbulkan agar ianya menjadi satu yang kontroversi dan seterusnya, menuduh saudara sendiri sebagai musyrik, kafir, dan mubtadi'. Mereka pula dengan senang-senangnya merubah pendapat-pendapat ulama-ulama yang terdahulu, yang selama 1400 tahun dianggap sahih dan benar oleh semua ummat Islam dan menamainya sebagai bid'a, syirik dan kufur!
Membesarkan Maulidurrasul samalah seperti kita membesarkan Islam kerana Rasulullah (s.a.w) umpama simbol bagi agama Islam. Imam Mutawalli Sha'rawi telah menuli didalam kitab beliau, Ma'idat al-Fikr al-Islamiyya (ms. 295),"Jika setiap kejadian yang tidak bernyawa sekalipun, bergembira dengan kelahiran baginda (s.a.w) dan semua tumbuh-tumbuhan pun bergembira malahan semua binatang pun bergembira dan semua malaikat pun bergembira dan semua jinn Islam bergembira diatas kelahiran baginda (s.a.w), kenapa kamu menghalang kami daripada bergembira dengan kelahiran baginda (s.a.w)?"
Oleh itu, untuk melindungi orang-orang awam Muslim dan Mukmin daripada tuduhan-tuduhan yang tidak boleh diterima, terutama sekali di Amerika dan Kanada, yang tidak mempunyai ramai ulama' yang boleh menjawab orang-orang yang jahil ini adalah penting untuk mengetahui mengenai kedudukan keadaan yang sebenarnya. Sebenarnya kedudukan perkara ini melibatka persoalan khilaf (perbezaan pendapat para ulama') sahaja dan tiada siapa yang merubah pendapat para ulama' yang muktabar kecuali orang-orang yang jahil dan para pembuat bida'ah. Insyaallah, saya akan memberi fakta dan nas serta dalil yang berkaitan dengan Maulidurrasul yang berlandaskan Al-Quran dan As-sunnah serta ijma' para ulama, agar dengan niat ini, semoga ianya menjadi jawaban kepada kritikan-kritikan dan persoalan-persoalan para "ulama" yang jahil yang berpura-pura mahir dalam agama dan semoga ilmu ini dapat dikongsi bersama - ilmu yang Allah beri kepada ulama' yang benar dan semoga Allah merahmati para ulama' yang benar ini. Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi ingin saya kemukakan 3 kenyataan:
1. Kami mengatakan bahawa menyambut Maulidurrasul (s.a.w) adalah dibolehkan. Perkumpulan yang dilakukan untuk memperdengarkan Sirah (kisah hidup) dan 'Madh' (puji-pujian) buat Rasulullah (s.a.w) adalah juga dibenarkan, begitu juga dengan kebiasaan menjamu tetamu dan menggembirakan saudara seUmmah adalah dibenarkan dan digalakkan.
2. Meraikan Maulidurasul (s.a.w) bukan sahaja terhad pada 12 hb. Rabi'ul al-Awwal tetapi ianya patut dilakukan pada setiap hari dalam setiap bulan di setiap masjid agar orang ramai dapat merasakan cahaya Islam dan Shari'a didalam hati-hati mereka.
3. Majlis sambutan Maulidurrasul (s.a.w) merupakan peluang keemasan yang berkesan dan efisyen untuk menyebarkan Islam dan mendidik anak-anak kita, yang tidak patut diabaikan oleh para ulama dan da'I, untuk mengajar dan mengingatkan Ummah mengenai Rasulullah (s.a.w) dan akhlaq baginda yang mulia, cara baginda beribadah dan cara baginda baergaul dengan orang ramai. Cara ini boleh memupukkan perasaan cinta dan sayang serta sentiasa mengingati Rasul (s.a.w) pada hati kanak-kanak. Pemberian makanan serta minuman dan hadiah juga akan membuatkan mereka merasa gembira menyambut hari tersebut.

Dalil daripada Al-Quran dan Sunnah yang Mengatakan bahawa Menyambut Hari Kelahiran (s.a.w) adalah diterima oleh Shari'a.

Kewajiban untuk Meningkatkan Kecintaan dan Penghormatan buat Rasulullah (s.a.w). Allah telah berfirman kepada Rasulullah (s.a.w) untuk mengingatkan ummatnya yang mengakui mencintai Allah, untuk mencintai NabiNya dan katakanlah kepada mereka,"Jika kamu mencintai Allah, ikutlah (dan cintai dan hormati) aku, dan Allah akan mencintai kamu" (3:31)

2-1 Kewajiban untuk Meningkatkan Kecintaan dan Penghormatan buat Rasulullah (s.a.w).

Allah telah berfirman kepada Rasulullah (s.a.w) untuk mengingatkan ummatnya yang mengakui mencintai Allah, untuk mencintai NabiNya dan katakanlah kepada mereka,"Jika kamu mencintai Allah, ikutlah (dan cintai dan hormati) aku, dan Allah akan mencintai kamu" (3:31) Sambutan Maulidurrasul (s.a.w) merupakan natijah atau kesan akan adanya perasaan kecintaan terhadap Rasulullah (s.a.w), perasaan taat kepada baginda, sentiasa mengingati baginda, mencontohi baginda dan berbangga dengan baginda sebagaimana Allah bangga terhadap baginda kerana Allah memuji akan baginda didalam Al-Quran, "Sesungguhnya engkau mempunyai akhlaq yang mulia" (al-Qalam:4) Tahap kecintaan kepada Rasulullah (s.a.w), merupakan antara pengukur kepada tahap kesempurnaan keimanan antara seseorang mukmin dan seorang mukmin yang lain. Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah (s.a.w) telah bersabda,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya." Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh Bukhari Rasulullah (s.a.w) berfirman,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku kamu lebih cintai daripada diri kamu sendiri." Dan Sayyidina 'Umar berkata,"Ya Rasulullah aku mencintaimu lebih daripada diriku sendiri. Kesempurnaan iman seseorang itu amat bergantung pada kecintaannya terhadap Rasulullah (s.a.w) dan para Malaikat sentiasa memuji baginda sebagaimana yang dimaksudkan didalam ayat al-Quran yang berbunyi, "Sesungguhnya Allah dan para Malaikat sentiasa bersalawat keatas Nabi" (33:56). Seterusnya ayat ini disambung dengan perintah Tuhan,"Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu keatasnya". Ayat ini sahaja menjadi bukti bahawa kualiti iman seseorang itu bergantung kepada dan dizahirkan melalui selawat kepada Nabi (s.a.w). Ya Allah! Limpahkanlah selawat serta salam kepada Nabi, ahli keluarga baginda dan para sahabat.

2-2 Rasulullah (s.a.w) menekankan bahawa hari Isnin sebagai hari Kelahiran Baginda

Abu Qatada al-Ansari meriwayatkan didalam Sahih Muslim, kitab as-siyam (puasa), bahawa Rasulullah (s.a.w) kenapa beliau berpuasa pada hari Isnin, dan baginda bersabda,"Itulah hari aku dilahirkan dan itulah juga hari aku diangkat menjadi Rasul." Daripada Mutawalli Sha'rawi:"Banyak peristiwa yang ajaib telah berlaku pada hari baginda (s.a.w) dilahirkan sebagai bukti bagi hadith dan sejarah bahawa malam Rasulullah (s.a.w) dilahirkan tidak seperti malam-malam manusia lain dilahirkan". Peristiwa yang termaktub didalam hadith termasuklah gegaran yang dirasakan di istana 'Chosroes' dan padamnya api yang telah menyala selama 1000 tahun di Parsi dan beberapa peristiwa-peristiwa lain yang ditulis didalam karangan Ibnu Kathir, al-Bidaya, Jilid 2, mukasurat 265-268. Daripada Kitab al-Madhkal oleh Ibnu al-Hajj (jilid 1, ms. 261) "Menjadi satu kewajiban bagi kita untuk membanyakkan kesyukuran kita kepada Allah setiap hari Isnin bulan Rabi'ul Awwal kerana Dia telah mengurniakan kepada kita nikmat yang besar iaitu diutusNya Nabi (s.a.w) untuk menyampaikan Islam kepada kita dan menyebarkan salam. Apabila baginda ditanya mengapa baginda berpuasa pada hari Isnin, baginda bersabda,"Hari itu adalah hari kelahiranku". Oleh kerana itu, hari tersebut telah memberi satu 'penghormatan' kepada bulan tersebut, kerana hari itu merupakan hari Rasulullah (s.a.w) dan baginda bersabda,"Aku merupakan penghulu bagi anak cucu Adam dan aku tidak mengatakan ini kerana kesombongan …dan baginda bersabda: Adam dan anak cucunya akan bernaung dibawah panji-panjiku pada hari pembalasan kelak. Hadith-hadith ini merupakan riwayat 'Shaikhayn' Bukhari dan Muslim. Dan Muslim menulis didalam Sahih nya, Rasulullah (s.a.w) bersabda, Aku telah dilahirkan pada hari Isnin dan pada hari yang sama juga wahyu yang pertama telah diturunkan kepadaku." Rasulullah (s.a.w) mengutamakan hari kelahiran baginda dan memuji serta bersyukur kepada Allah, dengan berpuasa pada hari tersebut (Isnin) seperti yang diriwayatkan oleh Abu Qatada didalam sebuah hadith. Ini bermakna, Rasulullah (s.a.w) telah melahirkan dan menzahirkan perasaan gembira baginda dengan berpuasa pada hari tersebut - salah satu daripada bentuk ibadah khusus. Oleh kerana Rasulullah (s.a.w) sendiri mengutamakan hari tersebut, jadi sebagai mencontohi baginda, sambutan atau ibadah yang selaras dengan shari'ah adalah dibolehkan - walaupun mungkin kaedah menyambutnya mungkin boleh berubah mengikut keadaan dan tempat tetapi dzat/intipati sambutan itu tetap sama. Dan kerana itu, berpuasa, memberi makanan kepada orang fakir miskin, bersama-sama berselawat kepada Nabi (s.a.w), ataupun bersama-sama mengingati dan merenung akan akhlaq baginda yang terpuji lagi mulia - semuanya merupakan kaedah ataupun cara yang boleh dilakukan untuk mengutamakan dan menyambut hari tersebut. (Sila lihat hadith," Meninggal pada hari Isnin" dibawah)

2-3 Firman Allah: Bergembiralah dengan Nabi (s.a.w)

KETIGA: Untuk menyatakan kegembiraan kita untuk baginda Rasulullah (s.a.w) kerana Allah telah mengutuskan baginda kepada kita seperti firman Allah didalam al-Quran, " diatas nikmat dan rahmat daripada Allah, biarlah mereka bergembira" (Yunus:58).
Perintah ini datang kerana kegembiraan menjadikan hati rasa bersyukur diatas rahmat Allah. Rahmat apakah lagi yang lebih besar selain Rasulullah (s.a.w) sendiri, dan Allah berfirman,' Kami tidak menurunkan kamu melainkan sebagai rahmat kepada seluruh manusia.' (Al-Anbiya':107)
Kerana Rasulullah (s.a.w) diutus sebagai rahmat untuk semua manusia, kegembiraan menyambut kelahiran baginda tidak tertakluk pada yang Muslim sahaja, bahkan seluruh manusia, sepatutnya melahirkan rasa kegembiraan tersebut. Malangnya, pada masa sekarang ramai Muslim yang beriya-iya menentang perintah Allah untuk bergembira dan menyambut hari NabiNYA.

2-4 Nabi (s.a.w) menyambut Hari-hari Bersejarah

KEEMPAT: Nabi (s.a.w), biasanya menghubungkaitkan ibadah dan sejarah dan kebiasaannya apabila tiba hari yang bersejarah tersebut, baginda mengingatkan kepada para sahabat akan hari tersebut dan supaya mereka menyambutnya walaupun peristiwa itu telah berlaku beribu-ribu tahun yang lampau. Dalil mengenai perkara ini dapat dilihat didalam hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan perawi-perawi yang lain ini, "Apabila Rasulullah (s.a.w) tiba di Madinah beliau melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari 'Ashura. Baginda pun bertanya kepada mereka mengenai hari tersebut dan mereka pun berkata, pada hari tersebut, Allah telah mnyelamatkan Nabi mereka, Sayyidina Musa dan menenggelamkan musuhnya dan kerana peristiwa itu mereka berpuasa sebagai tanda kesyukuran kepada Allah diatas anugerah tersebut." Rasulullah setelah itu terus bersabda yang mana hadith ini merupakan hadith yang cukup terkenal," Kami lebih berhak keatas Musa daripada kamu," dan baginda berpuasa pada hari tersebut ('Ashura) dan hari sebelumnya.

2-5 Allah Berfiman," Berselawatlah Kamu Kepada Nabi"

KELIMA: Memperingati kelahiran Rasulullah (s.a.w) akan membuatkan hati kita tergerak untuk berselawat keatas Nabi (s.a.w) dan memuji baginda yang merupakan satu perkara yang diarahkan oleh Allah di dalam ayat,
"Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat keatas Nabi, wahai orang-orang yang beriman ! berselawatlah kamu dan berilah salam keatasnya" (Al-Ahzab:56). Berkumpul beramai-ramai dan mengingati Nabi (s.a.w) akan membuat kita mudah untuk mendoakan baginda serta berselawat dan memuji-muji baginda. Siapakah yang berhak untuk menghalang apa yang telah Allah perintahkan di dalam Al-Quran? Pahala dan manfaat serta cahaya yang Allah berikan kepada hati kita kerana mematuhi perintahnya, tidak dapat diukur. Suruhan itu pula dinyatakan dalam keadaan jamak (ramai - 'plural') didalam kaedah nahu bahasa Arab (sila rujuk ayat al-Quran) : Allah dan MalaikatNya berselawat dan memuji Nabi - didalam satu perkumpulan yang ramai. Adalah tidak benar sama sekali untuk menyatakan bahawa selawat keatas Nabi (s.a.w) hanya boleh/perlu dilakukan secara bersendirian.

2-6 Kesan Memperingati Maulid untuk Orang Kafir

KEENAM: Apabila seseorang yang tidak beriman, bersama-sama menyatakan kegembiraan dan menyambut Maulidurrasul (s.a.w), atas rahmat dan kemurahan Allah, orang itu akan dapat manfaatnya. Perkara ini ada dinyatakan didalam sahih Bukhari. Bukhari meriwayatkan bahawa setiap Isnin, Abu Lahab akan dihentikan siksaan kubur yang diterimanya kerana beliau telah membebaskan hambanya, Thuwayba yang telah mengkhabarkannya kelahiran anak saudaranya, Nabi Muhammad (s.a.w).
Hadith ini terkandung didalam kitab Nikah oleh Bukhari dan Ibnu Kathir pula membicarakannya didalam kitab-kitabnya Sirat al-Nabi Jilid 1: ms 124, Mawlid al-Nabi ms 21 dan al-Bidaya ms.272-273. Seorang hafiz (hafal al-Quran), Shamsuddin Muhammad ibn Nasiruddin ad-Dimashqi telah menulis didalam kitabnya Mawrid as-sadi fi Mawlid al-Hadi : "Jika seorang kafir yang memang dijanjikan tempatnya di neraka dan kekal didalamnya" "hancur tangan-tangannya"; (surat 111) diizinkan untuk direhatkan daripada siksa kubur setiap hari Isnin kerana bergembira dengan kelahiran Ahmad, inikan pula hamba yang seluruh hidupnya bergembira dan bersyukur dengan kehadiran Ahmad dan meninggal dengan menyebut "Ahad"? - [tentu lebih lagi ganjarannya - penterjemah]

2-7 Kewajiban Mengetahui Sirah dan Mencontohi Asas-asas Akhlaq Yang Baik

KETUJUH: Kita disuruh untuk mengenali Nabi kita, tahu akan kehidupan baginda, mengenai mukjizat baginda, kelahirannya , akhlaqnya, keimanan baginda, tanda-tanda kenabian beliau (ayat wa dala'il), khalwat yang baginda lalui, ibadah baginda lagipun bukankah perkara-perkara ini sepatutnya diketahui oleh setiap Muslim? Apakah cara yang lebih baik lagi selain daripada meraikan hari kelahiran baginda, iaitu hari permulaan kehidupan baginda, dan seterunya supaya kita terdorong untuk mengenali baginda dengan lebih mendalam lagi. Memperingati hari kelahiran baginda akan membuka ruang bagi kita untuk memperingati perkara-perkara lain yang berkaitan dengan baginda. Apabila ini kita lakukan, Allah akan redha pada kita, kerana kita akan lebih bersedia untuk mengetahui sirah baginda dan lebih bersedia untuk mencontohi dan mengamalkan akhlaq baginda dan memperbetulkan kesilapan kita. Itulah sebabnya, kenapa sambutan hari lahir baginda merupakan satu rahmat buat kita semua.

2-8 Nabi Menerima Syair/Sajak Yang Berkaitan dengan Diri Baginda

KELAPAN: Pada zaman Nabi (s.a.w), terdapat ramai penyair yang terkenal dan hebat datang kepada baginda dan mempersembahkan kepada baginda rangkap-rangkap syair mereka yang memuji baginda, menceritakan mengenai dakwah dan peperangan yang baginda pimpin dan juga syair mengenai para sahabat. Ini dibuktikan dengan banyaknya syair yang disertakan di dalam Sirah Ibnu Hisham, al-Waqidi dan lain-lain. Rasulullah (s.a.w) amat menyenangi syair yang indah seperti yang tercatat didalam hadith riwayat Bukhari didalam al-Adab al-mufrad dan kitab-kitab lain, Rasulullah (s.a.w) bersabda,"Terdapat hikmah di dalam syair"; dan kerana itu bapa saudara Nabi (s.a.w) al-'Abbas mengarang syair memuji kelahiran Nabi (s.a.w) seperti didalam rangkap berikut:
Dikala dikau dilahirkan , bumi bersinar terang Hinggakan nyaris-nyaris pasak-pasak bumi tidak mampu untuk menanggung cahaya mu Dan kami dapat terus melangkah Lantaran kerana sinar dan cahaya dan jalan yang terpimpin [ bahasa mungkin tidak menepati kehendak penulis asal - penterjemah]
Petikan ini tercatat didalam kitab Imam as-Suyuti, Husn al - Maqsid ms.5 dan didalam kitab Ibnu Kathir, Maulid ms.30 dan juga didalam kitab Ibnu Hajar, Fath al-Bari.
Ibnu Kathir menerangkan didalam kitabnya bahawa para Sahabat ada meriwayatkan bahawa Nabi (s.a.w) memuji nama baginda dan membaca syair mengenai diri baginda semasa peperangan Hunayn untuk membakar semangat para Sahabat dan menakutkan para musuh. Pada hari itu baginda berkata,"Aku adalah Rasulullah! Ini bukanlah dusta. Aku anak 'Abd al - Muttalib!"
Rasulullah (s.a.w) sebenarnya amat bergembira dan menyenangi mereka yang memuji baginda kerana ianya merupakan perintah Allah dan baginda memberi kepada mereka apa yang Allah anugerahkan kepada baginda. Apabila kita bersama-sama berkumpul untuk mendekati Nabi (s.a.w), kita sebenarnya juga, melakukan sesuatu untuk mendekatkan diri kita kepada Allah justeru kerana mendekati Nabi (s.a.w) akan membuatkan Allah redha kepada kita.

2-9 Menyanyi dan Membaca Syair

Telah diketahui, menurut riwayat 'A'isha bahawa Nabi (s.a.w), telah membenarkan beliau untuk mengundang dua orang perempuan untuk menyanyi pada hari Raya. Baginda memberitahu Abu Bakr,"Biarkan mereka menyanyi kerana untuk setiap ummat ada hari cutinya dan ini adalah hari cuti kita" [Muttafaqun 'alaih]. Didalam kitab Madarij al-salikin, Ibnu Qayyim menulis bahawa Nabi (s.a.w) memberi izin untuk menyanyi pada hari perkahwinan dan membenarkan syair dipersembahkan untuk baginda. Baginda mendengar Anas dan para Sahabat memuji baginda dan membaca syair ketika baginda sedang menggali parit semasa peperangan Khandaq dan mereka pernah berkata," Kamilah yang telah memberi bai'ah kepada Muhammad untuk berjihad selama kami hidup."
Ibnu Qayyim juga telah menceritakan mengenai 'Abdullah ibnu Rawaha telah membaca syair yang panjang memuji-muji Nabi Muhammad (s.a.w) semasa baginda menakluki dan memasuki Makkah, dan Nabi pun berdoa untuk beliau. Rasulullah (s.a.w) juga pernah mendoakan untuk Hassan ibnu Thabit agar Allah sentiasa memberi bantuan kepada beliau dengan ruh suci (the holy spirit) selama mana beliau memuji-muji baginda melalui syairnya. Nabi juga telah menghadiahkan Ka'b ibnu Zuhayr sepasang jubah apabila beliau membacakan syair memuji-muji baginda kepada baginda. Nabi juga pernah meminta Aswad bin Sarih untuk mengarang syair memuji-muji Allah dan baginda pula pernah meminta seseorang untuk membaca syair puji-pujian yang mengandungi 100 rangkap yang dikarang oleh Umayya ibnu Abi Halh. Menurut Ibnu Qayyim lagi, 'A'isha selalu membaca syair memuji baginda (s.a.w) dan beliau amat menyenanginya."
Tertera di batu nisan Hassan ibnu Thabit beliau menulis mengenai Nabi (s.a.w):
Bagiku tiada siapa dapat mencari kesalahan didalam diriku Aku hanya seorang yang telah hilang segala deria rasa Aku tidak akan berhenti daripada memuji nya Kerana hanya dengan itu mungkin aku akan kekal didalam syurga Bersama-sama 'Yang Terpilih' yang daripadanya aku mengharapkan syafaat Dan untuk hari itu, aku kerahkan seluruh tenagaku kearah itu.

2-10 Menyanyi dan Membaca al-Quran

Seperti yang ditulis oleh Ibnu Qayyim didalam kitabnya, " Allah memberi keizinan kepada Nabi (s.a.w) agar membaca al-Quran dengan berlagu . Pada suatu hari Abu Musa al-Ash'ari sedang membaca al-Quran dengan berlagu dan suara yang merdu dan ketika itu Nabi (s.a.w) sedang mendengar bacaan beliau . Setelah beliau selesai mengaji, Nabi (s.a.w) mengucapkan tahniah kepada beliau kerana bacaan beliau yang begitu merdu dan baginda bersabda," Engkau mempunyai suara yang merdu " Dan baginda (s.a.w) bersabda lagi bahawa Abu Musa al-Ash'ari telah dikurniakan Allah 'Mizmar' (seruling) diantara mizmar-mizmar Nabi Daud. Dan Abu Musa pun berkata,"Ya Rasulullah jika aku tahu yang engkau sedang mendengarkan bacaanku nescaya aku akan membaca dengan suara yanglebih merdu dan lagu yang lebih enak lagi yang engkau belum pernah dengar lagi."
Ibnu Qayyim menulis lagi,"Nabi (s.a.w) bersabda ," Hiasilah al-Quran dengan suara kamu," dan "Siapa-siapa yang tidak melagukan al-Quran bukanlah dari kalangan kami." Ibnu Qayyim pula memberikan komentar, "Untuk menyenangi suara yang merdu adalah dibenarkan seperti juga kita menyenangi pemandangan yang indah, gunung-ganang, alam semulajadi ataupun harum-haruman dan wangi-wangian ataupun hidangan yang lazat selama mana ianya tidak melanggar batas-batas shari'a. Jika mendengar suara yang merdu itu haram, maka haram jugalah perkara-perkara yang telah disebutkan tadi.

2-11 Nabi Membenarkan Permainan Gendang Yang disertai Niat Yang Baik

Seorang Muhaddith, Ibnu 'Abbad telah memberikan fatwa berikut didalam kitabnya 'Letters'. Beliau memulakan dengan sebuah hadith," Seorang wanita telah datang menemui Nabi dikala baginda baru pulan daripada medan peperangan, dan wanita itu pun berkata," Ya Rasulullah , aku telah bernazar jika sekiranya, Allah menghantar engkau kembali dalam keadaan selamat, aku akan bermain gendan disebelah mu." Nabi pun bersabda," Tunaikanlah nazar mu." Hadith ini terdapat didalam riwayat Abu Dawud, Tirmidhi dan Imam Ahmad.
Ibnu 'Abbas pula menulis, " Tidak dinafikan bahawa memain gendang merupakan salah satu cara hiburan walaupun Nabi membenarkannya untuk memenuhi nazarnya. Ini adalah kerana baginda niat wanita itu adalah untuk meraikan kepulangan baginda dan beliau mempunyai niat yang baik bukannya dengan niat untuk melakukan sesuatu yang tidak baik ataupun menyia-nyiakan waktu. Oleh itu, jika kita meraikan hari kelahiran Nabi dengan niat yang baik, dengan membaca sirah dan memuji baginda, ianya diterma dan dibenarkan.
2-12 Nabi (s.a.w) Meraikan Hari lahir Nabi-nabi Yang lain [The Prophet Emphasized the Birthday of Prophets]
KESEMBILAN: Nabi (s.a.w) telah bersabda didalam hadith mengenai hari dan dan tempat kelahiran Nabi-nabi yang terdahulu. Baginda (s.a.w) juga membesarkan hari Jumaat kerana pada hari itu menurut baginda," Hari itu merupakan hari Allah mencipta Nabi Adam (a.s)." Ini bermakna, hari Jumaat dimuliakan kerana ianya merupakan hari dimana Allah mencipta Adam dan hari itu juga dibesarkan kerana ia merupakan hari penciptaan Nabi dan Bapa kepada seluruh Ummat Manusia. Bagaimana pula dengan hari kelahiran Nabi Besar dan Insan Kamil (sempurna) yang diciptakan?Nabi bersabda,"Sesungguhnya Allah menjadi aku sebagai Penutup (Khatam) Semua Nabi-nabi dan Rasul tatkala Adam masih lagi merupakan sesuatu antara tanah dan air." Hadith ini adalah riwayat Ahmad dalam Musnad, Bayhaqi dalam Dala'il al-Nubuwwah dan kitab-kitab besar yang lain dan ianya merupakan hadith yang hasan lagi sahih.

2-13 Mengapa Bukhari Mengutamakan Meninggal Pada Hari Isnin

Imam Qastallani menulis didalam komentarnya mengenai hadith riwayat Bukhari: "Didalam kitab, Jana'iz (Pengkebumian), Bukhari mengkhususkan satu topik yang membicarakan tentang 'Keutamaan meninggal pada hari Isnin'; didalam topik tersebut tercatat, hadith daripada A'isha yang menceritakan mengenai pertanyaan ayahandanya, Abu Bakr as-siddiq," Pada hari apa Nabi (s.a.w) wafat?" Beliau menjawab," Hari Isnin" Beliau bertanya lagi, "Hari apakah hari ini?" A'ishah pula menjawab,"Wahai ayahanda, hari ini hari Isnin." Lalu beliau pun mengangkat tangan dan berdoa ,"Aku memohon Ya Allah, agar mematikan aku pada hari Isnin sama seperti hari wafatnya Nabi (s.a.w)."
Imam Qastallani menyambung lagi, "Mengapakah Abu Bakr menginginkan agar kematiannya jatuh pada hari Isnin? Supaya hari meninggalnya sama seperti hari kewafatan Rasulullah (s.a.w) agar mendapat barakah pada hari tersebut. Adakah siapa-siapa yang ingin menolak ataupun menghalang keinginan Abu Bakr untuk meninggal pada hari tersebut semata-mata mengharapkan barakah hari tersebut? Kenapa sekarang ramai orang yang menolak keutamaan menyambut atau mengutamakan hari kelahiran Nabi (s.a.w) untuk mendapatkan barakah?"

2-14 Nabi Sentiasa Menekankan dan Mengingati Tempat Kelahiran Para Nabi

Didalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh seorang 'hafiz', al-Haythami didalam kitab Majma' al-zawa'id menceritakan bahawa pada malam Israk dan Mikraj, Nabi (s.a.w) telah diperintahkan oleh Jibril untuk solat 2 rakaat di Baitul Laham (Bethlehem) dan Jibril pun bertanya kepada baginda (s.a.w),"Tahukah kamu dimana kamu telah bersolat sebentar tadi?" Apabila Nabi bertanya kepada Jibril,"dimana?"Jibril pun menjawab,"Kamu telah bersolat ditempat 'Isa dilahirkan."

KESEPULUH: Mengingati hari kelahiran Nabi, merupakan satu 'ibadah yang diterima oleh semua 'ulama diseluruh dunia Islam, samada dulu mahupun sekarang. Ini menunjukkan bahawa Allah redha terhadap perbuatan tersebut. Di dalam kitab Musnad, Imam Ahmad menulis kata-kata Ibnu Mas'ud (yang diterima melalui perantara-perantara yang dipercayai), "Apa-apa yang dianggap benar/haq oleh sebilangan besar umat Islam itulah yang diredhai Allah dan apa-apa yang dianggap batil/salah oleh sebilangan besar umat Islam ianya juga salah/batil disisi Allah."
Sejarah Sambutan Maulidurrasul (s.a.w)
Makkah, merupakan Ibu kepada semua Kota (semoga Allah merahmati dan memuliakannya), merupakan penghulu bagi lain-lain kota diseluruh negara Islam didalam meraikan Maulidurrasul. Al-Azraqi, seorang ahli sejarah Makkah pada abad ke 3 - hijrah, telah menulis didalam kitabnya, Akhbar Makkah (Jilid 2,ms160) tempat-tempat yang digalakkan (mustahabb) untuk menunaikan solat di Makkah antaranya ialah rumah tempat Nabi (s.a.w) dilahirkan (Mawlid al-Nabi). Menurut beliau, rumah tersebut telah dijadikan masjid oleh ibu kepada Khalifah Musa al-Hadi dan Harun ar-Rashid.
Al-Naqqash, seorang 'ulama didalam bidang al-Quran mengatakan bahawa tempat kelahiran Nabi merupakan tempat dimana do'a diterima pada waktu tengahari setiap hari Isnin. Pendapat beliau ini tercatat didalam kitab al-Fasi, Shifa' al-gharam (Jilid 1, ms 199) dan juga kitab-kitab lain.

Keterangan Mengenai Sambutan Maulidurrasul (s.a.w) yang terawal secara Beramai-ramai
Kitab Rihal, karangan Ibnu Jubayr (540-614), didalam bab Perjalanan (ms.114-115) merupakan sumber yang terawal yang menceritakan mengenai sambutan Maulidurrasul (s.a.w) secara beramai-ramai didalam suatu kelompok masyarakat.
"Tempat yang diberkati ini (rumah kelahiran Nabi [s.a.w] ) dibuka dan setiap lelaki dibenarkan untuk memasukinya untuk mendapat barakah daripadanya (mutabarrikin bihi) pada setiap hari Isnin didalam bulan Rabi'al al-Awwal kerana pada hari dan bulan terssebut, Nabi telah dilahirkan."
Ahli sejarah abad ke-7 hijrah, Abul 'Abbas al-'Azafi dan anaknya Abul Qasim al-'Azafi telah menulis didalam kitab (tidak pernah diterbitkan), ad-Durr al-Munazzam, "Mereka yang menunaikan 'ibadah haji dan mereka yang sedang melakukan pengembaraan menyaksikan bahawa tiada jual-beli ataupun sebarang perbuatan lain dilakukan pada hari Maulidurrasul di Makkah, melainkan mereka berpusu-pusu memenuhi tempat kelahiran Nabi yang diberkahi. Pada hari itu juga, Ka'bah dibuka dan orang ramai dibenarkan untuk menziarahinya."
Penulisan Ibnu Battuta Mengenai Maulidurrasul (s.a.w)
Ibnu Battuta merupakan ahli sejarah abad ke - 8 yang masyhur dan beliau telah menulis didalam kitabnya, Rihla (Jilid 1,ms.309 dan 347) bahawa pada setiap hari Jumaat, selepas solat dan pada hari kelahiran Nabi, pintu Ka'bah akan dibuka oleh ketua Banu Shayba, pemegang kunci pintu Ka'bah. Pada hari Maulidurrasul (s.a.w) juga, Qadi yang bermazhab Shafi'i (Ketua Hakim, Makkah), Najmuddin Muhammad Ibnu al-Imam Muhyiddin al-Tabari, membahagi-bahagikan makanan kepada shurafa' (keturunan Nabi [s.a.w]) dan juga kepada kesemua penduduk Makkah.
Tiga Rakaman Sambutan Maulidurrasul (s.a.w) Pada abad ke - 10 Hijrah
Berikut merupakan catatan yang menguatkan lagi cerita-cerita mereka yang melihat sambutan Maulidurrasul (s.a.w). Catatan ini bersumber daripada 3 ahli sejarah abad ke -10 hijrah yang dianggap mempunyai kemahiran dan kepakaran yang tiada tandingannya pada zaman tersebut, Ibnu Huhayra didalam kitabnya al-Jami' al-Latif fi Fasl Makkah wa ahliha (ms.326), al - Hafiz Ibnu Hajar al-Haytami didalam kitabnya al-Mawlid ash-Sharif al-Mu'azzam dan al-Nahrawali didalam kitabnya al-I'lam bi-a'lam Bayt Allah al-Haram (ms.205).
Pada 12hb Rabi'al al-Awwal setiap tahun selepas solat al-Maghrib keempat-empat (wakil keempat-empat mazhab) Qadi kota Makkah dan sekumpulan besar orang yang terdiri daripada para fuqaha' (ulama) dan fudala' (mereka yang utama) kota Makkah, Shaykh-shaykh, pemimpin-pemimpin zawiyah dan murid-murid mereka , para ru'asa' (hakim-hakim) dan para muta'ammamin (ulama) meninggalkan masjid dan pergi secara beramai-ramai untuk menziarahi tempat kelahiran Nabi sambil berdzikir dan membaca tahlil (LA ILAHA ILLALLAH). Rumah-rumah terletak sepanjang jalan tersebut diterangi dengan lampu-lampu dan lilin-lilin besar dan ramai daripada penghuni-penghuni rumah-rumah tersebut memenuhi jalan tersebut. Mereka semua memakai pakaian baru dan membawa anak-anak mereka bersama-sama. Setibanya ditempat kelahiran Nabi (s.a.w) doa khas pun dibacakan dan karamah-karamah yang berlaku semasa kelahiran Nabi (s.a.w) pun dibacakan. Seterusnya doa untuk Sultan, Amir Makkah dibacakan dan Qadi yang bermazhab Shafi'i dibacakan dan kesemua mereka berdoa dengan penuh merendah diri. Sebelum solat al-'Isha, rombongan tadi pun kembali ke Masjidil Haram yang dipenuhi oleh manusia dan mereka mengambil tempat dan membentu saf dikawasan Maqam Ibrahim. Di Masjidil Haram, seorang penyeru akan bertahmid (AL HAMDULILLAH) dan bertahlil dan sekali lagi berdoa untuk Sultan, Amir dan Qadi yang bermazhab Shafi'i. Seterusnya, azan untuk solat 'Isha dilaungkan. Selepas solat al-'Isha, mereka pun bersurai. Peristiwa yang serupa ini juga dirakamkan oleh al-Diyarbakri (meninggal 960) didalam kitabnya Ta'rikh al-Khamis.
Sambutan Maulidurrasul (s.a.w) di Negara-negara Islam Pada Zaman Sekarang
Pada zaman sekarang, kebanyakan orang-orang Islam dinegara-negara Islam meraikan Maulidurrasul (s.a.w). Antara negara-negara tersebut termasuklah: Mesir, Syria, Lebanon, Jordan, Palestine, Iraq, Kuwait, Emiriyah Arab Bersatu, Arab Saudi (tidak secara rasmi - penduduk menyambutnya sendiri dirumah-rumah mereka), Sudan, Yemen, Libya, Tunisia, Algeria, Maghribi, Mauritania, Djibouti, Somalia, Turkey, Pakistan, India, Sri Lanka, Iran, Afghanistan, Azerbaidjan, Uzbekistan, Turkestan, Bosnia, Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura dan kebanyakan negara Islam yang lain. Dikebanyakan negara Arab Maulidurrasul (s.a.w) merupakan hari cuti umum. Kesemua negara-negara ini Wahai Ummah, meraikan hari tersebut. Namun begitu kenapa masih lagi ada segelintir dari kalangan kita yang mengatakan ianya haram? Siapakah mereka ini untuk dibandingkan dengan para huffaz (ahli hadith) dan ' Ulama Ummah seperti Abu Shama, 'Asqalani, Suyuti, Sakhawi, Haytami, Shawkani dan al-Qari yang mana mereka semua mengatakan bahawa sambutan Maulidurrasul (s.a.w) merupakan suatu perbuatan yang terpuji?Mengapakah mereka yang menggelarkan diri mereka Salafi ini mengharamkan sesuatu perkara yang mana Ibnu Taimiyyah (antara ulama yang begitu tegas) sendiri, membenarkannya? Ibnu al-Jawzi dan Ibnu Kathir pula menggalakkannya dan masing-masing-masing mereka menulis kitab Maulid yang mengandungi syair dan rangkap-rangkap daripada Sira
8-2 Pendapat Ibnu Taimiyyah Mengenai Majlis Dzikir [Ibnu Taimiyyah's Opinion on the Meetings of Dhikr]
Berikut merupakan pendapat Ibnu Taimiyyah mengenai majlis dzikir. Ianya boleh didapati didalam kitab Majmu 'at fatawa Ibnu Taimiyyah edisi King Khalid ibn 'Abd al-Aziz. Ibnu Taimiyyah telah ditanya mengenai pendapat beliau mengenai perbuatan berkumpul beramai-ramai berdzikir, membaca al-Quran berdoa sambil menanggalkan serban dan menangis sedangkan niat mereka bukanlah kerana riak ataupun menunjuk-nunjuk tetapi hanyalah kerana hendak mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Adakah perbuatan-perbuatan ini boleh diterima? Beliau menjawab,"Segala puji hanya bagi Allah, perbuatan-perbuatan itu semuanya adalah baik dan merupakan suruhan didalam Shari'a (mustahabb) untuk berkumpul dan membaca al-Quran dan berdzikir serta berdoa."
8-3 Ibnu Kathir Memuji-muji Malam Maulidurrasul (s.a.w)
Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani telah menulis didalam kitabnya, 'Al-Durar al-Kamina fi 'ayn al-Mi'at al-thamina' bahawa Ibnu Kathir, seorang Muhaddith dan merupakan pengikut Ibnu Taimiyyah, telah menulis sebuah kitab yang bertajuk Mawlid Rasul Allah di penghjung hidupnya dan kitab ini telah tersebar dengan meluas dan keserata tempat. Didalam kitab ini. (disunting dan diterbitkan pada tahun 1961) Ibnu Kathir membenarkan dan menggalakkan sambutan Maulid dan didalam ms 19 beliau telah menulis," Malam kelahiran Nabi (s.a.w) merupakan malam yang mulia, utama, dan malam yang diberkahi dan malam yang suci, malam yang menggembirakan bagi kaum Mukmin , malam yang bercahaya-cahaya, terang benderang dan bersinar-sinar dan malam yang tidak ternilai."
8-4 Fatwa 'Asqalani dan Suyuti Mengenai Sambutan Maulidurrasul ['Asqalani and Suyuti's Fatwas on the Permissibility of Maulid]
Jalaludin al-Suyuti telah menulis didalam kitab beliau, "Hawi li al-Fatawa", Sheikhul Islam dan Imam Hadith pada zamannya, Ahmad ibn Hajar ('Asqalani) telah ditanya mengenai perbuatan menyambut Maulidurrasul (s.a.w) dan beliau telah memberi jawapan secara bertulis:
Adapun perbuatan menyambut Maulidurrasul (s.a.w.) merupakan bida'ah yang tidak pernah diriwayatkan oleh para Salafussoleh pada 300 tahun pertama selepas hijrah. Walaubagaimanapun, ianya penuh dengan kebaikan dan perkara-perkara yang terpuji dan kadangkala ianya dicacatkan oleh perbuatan-perbuatan yang tidak sepatutnya. Jika sambutan Maulidurrasul itu terpelihara dari perkara-perkara yang melanggar shari'a maka ianya tergolong didalam perbuatan bida'ah hasanah tetapi jika sambutan tersebut terselit perkara-perkara yang melanggar shari'ah maka ianya tidak tergolong didalam bida'ah hasanah.
Untuk menjadi dalil bagi sambutan Maulidurrasul (s.a.w), hadith dibawah ini boleh digunakan, ianya merupakan hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim . Semasa Nabi berada di Madinah, beliau mendapati bahawa kaum Yahudi berpuasa pada hari kesepuluh Muharranm ('Ashura) dan baginda (s.a.w) bertanya akan perbuatan mereka, kata mereka, mereka berpuasa kerana pada hari tersebut, Nabi Musa telah diselamatkan dan Firaun telah ditenggelamkan. Kami berpuasa untuk menyatakan kesyukuran kami. Perkara ini menjadi dalil bagi kita untuk menyatakan kesukuran kita kerana Dia telah merahmati hari tersebut dan menjauhkan bala, seseorang sepatutnya bersyukur akan datangnya hari tersebut pada setiap tahun, bersyur melalui berbagai jenis 'ibadahseperti solat, memberi sedekah, membaca Quran …… JUSTERU ITU RAHMAT APAKAH YANG LEBIH BESAR DARIPADA KELAHIRAN NABI, RASUL YANG MENJADI RAHMAT PADA HARI INI?SUDAH SEPATUTNYA HARI KELAHIRAN BAGINDA DISAMBUT DAN DIBESARKAN APABILA TIBA HARI TERSEBUT, JIKA KITA MENGAMBIL DALIL HADITH YANG TERSEBUT DIATAS. TETAPI ADA JUGA MEREKA YANG MENYAMBUT KELAHIRAN BAGINDA (S.A.W) TANPA MENGIRA BATAS WAKTU PADA MANA-MANA BULAN ATAUPUN ADA YANG MENYAMBUTNYA SEPANJANG TAHUN. ITU TIDAK MENGAPA.