Thursday, June 24, 2010

'Macam basuh najis dengan air kencing'

KUALA LUMPUR 2010/06/24: “Macam basuh tahi dengan air kencing...ia takkan bersih, malah lebih mengotorkan. Mana boleh berpendapat kononnya boleh terhapus dosa apabila menderma dengan hasil kerja maksiat. Haram itu jelas dan halal itu jelas, jangan sekali-kali sengaja campur adukkan dengan pemikiran logik akal saja,” kata Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria (gambar).
Beliau yang dihubungi Harian Metro meluahkan kekecewaan dan sedih apabila mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam berhubung kes dua beranak masing-masing ibu berusia 45 tahun dan anak, 25 tahun, yang bekerja urut badan ke badan kepada lelaki ketagih seks, kemudian menderma wang hasil jijik itu dengan menjamu jemaah masjid.
Menurutnya, perbuatan terbabit menunjukkan pelakunya tak tahu agama dan jika meneruskan kerja jijik akan menyebabkan jauh dari hidayah Allah.

“Harus diingat kepada semua muslimin dan muslimat. Islam bukan sekadar logik akal semata-mata. Dosa tak boleh terhapus begitu saja dengan melakukan kebajikan menerusi wang hasil haram.

“Kes ini seperti juga kaki judi menang judi dan kemudian menderma konon untuk hapus dosa, lebih baik bertaubat segera sebelum terlambat. Malah, jika jemaah sudah mengetahui mereka makan daripada derma wang hasil haram juga tidak boleh makan makanan itu,” katanya.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu memberikan khidmat kaunseling dan tarbiah kepada pelaku kerja jijik itu bagi mengelakkan mereka terus tersasar jauh daripada matlamat hidup iaitu mendekatkan diri dengan Tuhan.

Katanya, pelaku maksiat mesti berhenti segera daripada terus melakukan perbuatan itu sebelum hati dan jiwa mereka menjadi gelap dan terlambat untuk bertaubat. Muka depan Harian Metro semalam menyiarkan pengakuan dua wanita anak-beranak bahawa mereka menggunakan wang hasil urut dan seks istimewa ke jalan baik iaitu dengan bersedekah dan menjamu jemaah masjid kononnya bagi menghapuskan dosa maksiat yang dilakukan.

Pengakuan pelik itu dibuat kepada Pengarah Perancangan dan Strategik Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Shahrom Maarop, selepas dua beranak terbabit ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Puchong, baru-baru ini.

Dua beranak berkenaan bakal dihadapkan ke Mahkamah Syariah mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor atas kesalahan maksiat.

No comments: