1. Kita kerap mendengar berkenaan pekerja asing menutup peluang  pekerjaan pekerja Malaysia. Saya amat bersetuju pekerja asing tidak  dibenarkan masuk negara kita supaya pekerja kita dapat cari makan dengan  mengisi tempat-tempat yang dikosongkan oleh pekerja asing.
2.  Memang benar pekerja asing menyebabkan wang Malaysia mengalir keluar.  Katanya tiap bulan satu bilion ringgit Malaysia dihantar oleh pekerja  asing ke negara mereka. Ini boleh menjejaskan kewangan kita. Kita dapat  selamatkan wang ini jika pekerja kita yang mengisi semua jawatan-jawatan  dalam negara.
3. Walaupun saya bersetuju dengan dasar Kerajaan  tidak membenar pekerja asing masuk Malaysia lagi, saya telah didekati  oleh peniaga dan pengusaha Malaysia dan asing supaya dilonggarkan  sedikit dasar ini.
4. Mereka merayu kerana setelah pekerja  asing dihentikan tidak ada pekerja Malaysia yang sanggup bekerja  walaupun akan dibayar gaji yang lebih. Syarikat Jepun pula menghadapi  masalah kerana pekerja asing ditugas untuk kerja kasar yang tidak  memerlukan kecekapan, bergaji rendah dan tidak diminati oleh pekerja  Malaysia. Pekerja kita bekerja diperingkat atas untuk memproses hasil  kerja pekerja diperingkat bawah.
5. Apabila tidak ada pekerja  peringkat bawah, dan tidak ada pekerja tempatan untuk mengganti mereka,  maka kerja-kerja awal tidak dapat dibuat. Dengan itu tidak ada barangan  untuk diproses oleh pekerja tingkat atas yang terdiri daripada orang  Malaysia. Ini menjejaskan perusahaan Jepun. Kalau sudah tidak ada  pekerja dan tidak ada produk maka mereka tentulah terpaksa hentikan  perusahaan mereka. 
6. Apabila mereka berbuat demikian pekerja  Malaysia juga akan hilang mata pencarian.
7. Masalah ini  melibatkan perniagaan di Langkawi juga. Kedai makan dan kedai bebas  cukai sudah tidak ada pekerja. Apatah lagi larangan terhadap jabatan  Kerajaan mengadakan kursus di Langkawi menjejas perniagaan hotel tiga  bintang bahkan penjual buah di tepi jalan.
8. Saya percaya  rakyat Malaysia tidaklah begitu keras hati sehingga sanggup melihat  perniagaan dan pekerja Malaysia mengalami kerugian kerana tidak suka  melihat pekerja asing bekerja di sini.
1 comment:
copy..
Post a Comment