Sunday, March 27, 2011

Ajaran Sulaiman (Bahtera Nabi Noh)

Huraian Tajuk/Isu: 
 
Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) Negeri Selangor telah menerima laporan mengenai Ajaran Sulaiman Bahtera Nabi Noh yang didapati meragukan umat Islam. Oleh itu, pihak Jawatankuasa telah diminta untuk memberi respon dan membuat keputusan yang sewajarnya mengenai ajaran ini.
Keputusan: 
 
Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) Negeri Selangor dalam persidangannya yang bertarikh 12 Februari 1998 telah membincangkan perkara di atas dan keputusannya adalah seperti berikut : 'Ajaran Sulaiman ( Bakhtera Nabi Noh ) adalah bertentangan dan menyeleweng dari akidah Islam. Umat Islam yang menganuti ajaran ini hendaklah bertaubat dan kembali ke ajaran Islam yang sebenar'.
Keterangan/Hujah: 
 
1 Kumpulan ini telah di asaskan oleh Sulaiman bin Mohd Said pada tahun 1989 dengan nama Syarikat Shah W.T.C Enterprise Sdn. Bhd dengan modal RM 2.5 juta beralamat di Lot 3734, Jalan Jambu, Meru Barat, 42200 Kapar, Klang, Selangor. Tujuan awal penubuhannya ialah untuk menubuhkan satu syarikat bagi membangunkan ekonomi Islam sedunia yang didakwa akan mengembangkan perniagaannya di dalam dan luar negeri meliputi Timur Tengah, Indonesia, India dan Thailand.
 
2 Bentuk perniagaan yang dikendalikan ialah membuat barang kraftangan dari bahan-bahan terbuang seperti tempurung kelapa, tunggul-tunggul kayu, membuat bantal dan minyak wangi. Namun begitu, sehingga kini barangan tersebut belum lagi diedar hanya sebagai contoh sahaja untuk dipamerkan. Terdapat 3 buah bangunan dalam pengeluaran barang tersebut iaitu di : (i) Rantau Panjang, Klang - Bengkel peralatan
(ii) Teluk Kapas, Pelabuhan Klang - Bengkel Kraftangan
(iii) Jalan Jambu, Meru, Klang - Bengkel Kraftangan
Namun, dua daripada tiga bengkel tersebut telah ditutup dan yang tinggal hanya di Jalan Jambu, Meru, Klang sahaja. Ini berlaku kerana tuan tanah tidak yakin dengan bentuk perniagaan tersebut.
 
3 Sulaiman pada awalnya mempunyai isteri bernama Wasitah dan dikurniakan dua orang anak. Kemudian, Wasitah diceraikan kerana beliau ingin berkahwin dengan kakaknya Hawa. Oleh kerana Sulaiman telah meninggal dunia pada Januari 1995, kumpulan ini telah diambil alih oleh isterinya, Hawa bt. Hasan, seorang guru sekolah rendah. Kumpulan ini telah membina sebuah bangunan berbentuk kapal yang mempunyai 52 bilik bagi tujuan menyelamatkan diri bila banjir besar berlaku di Daerah Klang. ISI AJARAN
Sulaiman (allahyarham) sebenarnya tidak ada asas pengajian agama secara formal dan beliau tidak tahu membaca al-Quran. Beliau menggunakan khadam (jin) yang diberi nama Mr. Programmer yang membantunya dalam setiap tindakan. Setelah beliau meninggal dunia, Mr. Programmer ini telah diambil alih oleh isterinya Hawa bt. Hasan untuk berkhidmat dengannya. Sulaiman juga pernah belajar dengan guru ajaran sesat dari Pasir Mas, Kelantan yang dipanggil Syed Ahmad/ Syeikh Ahmad.
Diantara butir-butir ajaran Sulaiman ialah :
1) Beliau telah menggunakan terjemahan al-Quran karangan A. Hassan sebagai rujukan. Beliau mendakwa karangan A. Hassan (Bandung) itu sahaja yang menepati kehendak Islam dan diakui oleh Nabi Ibrahim. Beliau juga mendakwa dirinya sebagai Nabi Isa.
2) Mendapat ajaran terus dari Allah. Beliau juga mendakwa semua ulama di Malaysia tidak betul dan hanya kumpulannya sahaja yang mengamalkan ajaran Islam yang betul dan benar.
3) Akan diadakan pertemuan empat kaun umat ahli Muhammad iaitu
(i) Nabi Ibrahim (orang Arab)
(ii) Nabi Nuh (orang Melayu)
(iii) Ali Imran (Orang Inggeris dan Jerman)
(iv) Nabi Musa (orang Israel)
4) Cara sembahyang umat Islam di Malaysia adalah salah, hanya cara yang dialamkan oleh kumpulan ini sahaja yang betul
5) Mengarahkan ahli kumpulan boleh sembahyang jama" ketika membuat kerja-kerja bangunan di Rantau Panjang dan Teluk Kapas. Sembahyang zohor dan asar boleh dijama"kan kerana segala kerja itu adalah urusan Allah. Dalam bulan puasa, kumpulan ini telah membuat dodol dan ahlinya boleh sembahyang jama" kerana mengacau dodol adalah urusan Allah.
6) Setelah Sulaiman meninggal dunia, jawatan ketua kumpulan ini secara automatik diambil alih oleh isterinya Hawa Hasan sehingga sekarang. Mereka mendakwa segala urusan projek yang dijalankan adalah projek Allah. Mereka juga mendakwa mendapat petunjuk di langit dan mimpi-mimpi melalui ahli-ahli bahawa kumpulan ini sahaja yang mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya.
7) Kumpulan ini juga mengamalkan beberapa zikir seperti :
i. Lafaz sebelum menunaikan solat (ketika berdiri tegak) :
"Demi Engkau Tuhan kami, Ya Allah, izinkan aku melaksanakan persembahan perintah sembahyang fardhu...kerana menyembahmu, serta tunduk sujud, berserah menyerah diri kepadamu, dengan maksud berlafazan kami, dan mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w.
ii. Selepas sembahyang diucapkan pula terima kasih, kemudian beristighfar
memohon keampunan atas kesilapan diri.
iii. Doa dan zikir adalah persembahan. Sebelum persembahan mesti ada pembukaan, iaitu dengan membaca al-Quran surah al-Imran ayat 18.
Status Penwartaan: 
Tidak Diwartakan e-fatwa.gov.my

No comments: